Tinggi di Awan

Tinggi di Awan

Sunday 29 March 2015

Ni adalah post pertama untuk blog ni..before ni penah jugak buat blog tapi malas nak update..so buat blog baru tp xda idea nak tulis apa...paling mudah just copy paste...actually post kat bawah ni dah disiarkan dalam Mingguan Malaysia di halaman "catatan kembara" cerita kat bawah ni aku tulis sendiri ye..jadi ayat2 yang diguna pakai mungkin x sesuai untuk rujukan waktu SPM...





Kali pertama datang ke Osaka atas urusan kerja membuat hati  teruja untuk datang sekali lagi ke sini bersama dengan anak-anak dan isteri. Apatah lagi dengan promosi tambang murah oleh AirAsia X menguatkan lagi hasrat untuk melancong ke Osaka walaupun terpaksa membuat tempahan 10 bulan awal.

Setelah melalui penerbangan selama 6 jam dari LCCT akhirnya sampai juga kami di Lapangan Terbang Kansai walaupun penerbangan lewat daripada yang dijadualkan akibat masalah teknikal. Perkara pertama yang perlu dilakukan selepas menyelesaikan urusan imigresen dan bagasi terus kami mencari perkhidmatan Limo Bas untuk ke destinasi pertama iaitu Kyoto. Kos bas agak murah dan juga mudah untuk ke Kyoto dibandingkan dengan keretapi ataupun teksi.

Dengan harga lebih kurang RM80 untuk seorang dewasa dan separuh harga untuk kanak-kanak mungkin agak mahal berbanding dengan harga di Malaysia. Tetapi perkhidmatannya cukup terbaik dimana semua bagasi akan diuruskan oleh pemandu bas sendiri.  Perjalanan ke Kyoto dari Osaka mengambil masa 2 jam setengah. Setelah tiba di Kyoto Station dan kami terus mencari hotel VISTA Kyoto yang ditempah melalui laman web booking.com. Lokasi hotel ini adalah berhadapan dengan Kyoto Station dan akan memudahkan kita untuk kemana-mana. Setelah selesai mendaftar masuk dan menyimpan barang kami terus merancang ke tempat tarikan pertama di Kyoto iaitu Istana Nijo. Tapi agak malang bagi kami kerana Istana tersebut telah pun tutup pada pukul 4.30 petang. Cukuplah  sekadar  mengelilingi kawasan istana dan bergambar. Hari pertama di Kyoto kami cuma berjalan-jalan meninjau kawasan station keretapi bawah tanah dan juga kawasan berdekatan dengan hotel.
Destinasi hari kedua di Kyoto adalah SAGANO ROMANTIC TRAIN. Berbekalkan peta Kyoto dan maklumat berkenaan tempat-tempat menarik kami memulakan perjalanan. Yang paling penting sekali adalah peta laluan keretapi.  Ini yang akan cukup membantu kita sepanjang berada di Jepun.
Dari Kyoto Station kami mengambil keretapi JR Sagano dan terus ke station JR Saga Arashiyama dengan kos lebih kurang RM12 seorang dewasa. Sagano Romantic Train boleh dinaiki di station Torokko Saga yang berdekatan dengan station Saga Arashiyama. Sepanjang menaiki Sagano Romantic Train kita boleh menikmati keindahan sungai sepanjang perjalanan keretapi dan kemudian berpatah balik ke Station Torokko Saga. Di sini juga terdapat kawasan buluh yang dipanggil Bamboo Groove. Untuk makluman pembaca juga di Sagano terdapat perkhidmatan menyusuri sungai dengan bot tradisional. Kosnya mungkin agak mahal dan masa yang diambil agak lama.
 
Dari Sagano destinasi seterusnya adalah Toei Kyoto Studio Park. Cuma untuk ke sini agak jauh sedikit terpaksa berjalan dari stesen keretapi yang terdekat. Dengan anak yang masih kecil, kereta sorong menjadi pembantu yang amat berguna. Kunjungan ke studio ini amat berbaloi bagi anak-anak kerana dapat melihat watak karton yang mereka tonton melalui televisyen. Untuk masuk kesini anda perlu membeli tiket yang boleh dikira agak mahal iaitu RM90 seorang.  Walaupun mahal, bagi yang datang berkeluarga anda perlu mengunjungi ke sini dan dijamin berbaloi.



Habis saja menjelajah keseluruhan kawasan studio kami terus pulang ke hotel untuk check out dan menuju ke Kyoto Station untuk ke Osaka pula. Sudah tentu keretapi laju yang dikenali Shinkansen menjadi pilihan . Harga tiket yang agak murah Cuma RM63 seorang dan caj separuh kepada kanak-kanak.  Hanya mengambil masa 15minit untuk stesen Shin-Osaka.
Keratapi laju Shinkansen

Sampainya di Osaka tugas seterusnya adalah mencari keretapi bawah tanah untuk ke hotel Hearton Shinshaibasi.  Mencari hotel di waktu malam memang agak mencabar tambahan pula hotel yang ditempah bukan berada di jalan utama. Satu perkara yang menarik berkenaan Jepun ialah masyarakatnya sangat “friendly” sentiasa membantu walaupun kadang-kadang menyusahkan kita balik kerana faktor bahasa. Setelah puas mencari akhirnya jumpa juga hotel yang dicari. Biliknya agak kecil dan tak berpadanan dengan harga.  Nama pun Jepun antara negara yang kos sara hidup yang paling tinggi di dunia.


Esok paginya kami memulakan pencarian ke Universal Studio Japan, sebuah taman tema yang menarik tapi mungkin kurang sesuai untuk kanak-kanak. Banyak permainan hanya boleh disertai oleh remaja dan dewasa. Kami berada sehari suntuk disini. (Rugi kalau keluar awal selepas bayar tiket yang boleh tahan mahalnya). Sebelum pulang ke hotel jangan lupa singgah di Hard Rock Café Osaka untuk membeli sehelai dua baju sebagai tanda kenangan yang kita dah pernah sampai di Osaka. Waktu malam kami hanya dihabiskan dengan bersiar-siar di kawasan Shinshaibashi.

Hari berikutnya kami ke Osaka Aquarium dan juga “Giant Ferris Wheel”.  Sepanjang kami berada di Jepun makanan halal juga agak mudah didapati di kebanyakkan tempat tumpuan pelancong. Harga makanan halal agak mahal dan tidak menjadi masalah jika anda mempunyai bajet yang besar. Seperti percutian kami ini yang lebih menjurus kepada percutian bajet kami  lebih selesa membawa bekal sendiri yang dipek di  Malaysia lagi seperti serunding dan sambal bilis. Nasi boleh dimasak sendiri ataupun cuma beli terus dari kedai 24jam. Untuk tambahan lauk kami cuma perlu beli telur dan rebus di hotel mengguna pemanas air.

Dari Shinshaibashi kami bertukar ke hotel lain iaitu di New Otani Osaka.  Sekadar untuk merasa bagaimana hotel lima bintang di Osaka dengan harga RM600 semalam. Lokasinya agak jauh dari pusat bandar . Menariknya lokasi hotel ini berdekatan dengan Osaka Castle dan dapat dilihat dari bilik penginapan kita.


Di kawasan hotel ini terdapat kompleks perniagaan yang boleh dikunjungi jika anda tidak berhasrat kemana-mana dengan pengangkutan awam.

Sarapan pagi kami pada hari ke-5 sekadar menikmati secawan kopi dan donut di kafe yang terdapat berhampiran hotel. Selesai sarapan terus ke Osaka Castle. Di sini terdapat satu dewan besar yang menjadi venue untuk mana-mana acara hiburan. Sekitar kawasan Osaka Castle terdapat pelbagai taman dan padang rekreasi yang menjadi tumpuan penduduk Osaka di hujung minggu. Bangunan Osaka Castle mempunyai 7 tingkat dan kita boleh menaiki lif dan perlu turun menggunakan tangga untuk turun. Tak pasti tujuannya tapi mungkin untuk memastikan pengunjung dapat melihat semua yang ada di dalam istana ini. Pengunjung juga boleh membeli cenderamata yang dijual di kawasan sekitar istana. Harga cenderamata paling murah pun berharga RM12 untuk rantai kunci.

Petangnya kami berkunjung pula ke Namba Walk, kawasan yang sangat popular di Osaka sebagai tempat beli belah dan menjamu selera. Juga terdapat pusat beli belah bawah tanah yang membuatkan kami terfikir jika berlaku sebarang apa apa musibah (macam raksaksa berlawan dengan ultraman) apa akan jadi. Dari Namba ke Dotonburi Street yang menempatkan restoran berasaskan makanan laut seperti sushi. Memang orang Jepun sangat menikmati makanan sehingga sanggup beratur panjang untuk masuk.


Hari terakhir kami di Osaka sebelum keluar di hotel adalah Pasaraya Daie. Jarak dari hotel lebih kurang 500meter dan kami cuma berjalan kaki sekeluarga. Keadaan pasaraya lebih kurang dengan pasaraya di Malaysia.  Selesai “window shopping” kami menuju semula ke hotel dan menanti bas yang akan membawa kami ke Kansai Airport.


Satu perjalanan yang cukup memuaskan hati walaupun agak penat tambahan membawa anak-anak yang masih kecil. Walaupun diwar-warkan melancong di Jepun sangat  mahal sebenarnya jika anda pergi sendiri tanpa menggunakan ejen dan merancang sendiri perjalanan ianya lebih berbaloi dengan wang yang anda belanjakan. Insyaallah satu hari nanti kami akan kembali lagi ke Jepun kali ini untuk melihat keindahan bunga sakura pula.

No comments:

Post a Comment