Tinggi di Awan

Tinggi di Awan

Sunday 15 May 2016

Jalan2@Melbourne

CNP dari Ruangan Catatan Kembara Utusan Malaysia...

Ibarat pucuk dicita ulam mendatang, promosi Air Asia X yang menawarkan penerbangan tambang murah ke Melbourne terus ditempah walaupun terpaksa menunggu jadual penerbangan lagi 9 bulan. Harga promosi yang ditawarkan hanyalah RM650 seorang pergi balik tidak termasuk makananan dan juga bagasi. Kos kos ini boleh ditempah kemudian yang penting tiketnya dahulu.  Sembilan bulan menanti akhirnya pada 27hb Ogos 2014 kami sekeluarga yang terdiri daripada saya dan isteri serta 3 orang anak –anak berlepas dari KLIA2 menuju ke Melbourne. Penerbangan yang masa selama 8 jam akhirnya tiba di Lapangan Terbang Tullamarine pada pukul 8.30 pagi. Mengikut kata-kata dari blog yang dibaca, Australia adalah Negara yang agak ketat dari segi tapisan kastam untuk kemasukan barang makanan dari luar. Awal-awal lagi borang perisytiharan kastam sudah disediakan dan kami bernasib baik kerana sepanjang urusan kastam dan imigresen disana tidak ada langsung masalah dan dibenarkan ke balai ketibaan tanpa pemeriksaan.

Keluar saja dari balai ketibaan kami terus mencari kaunter Skybus iaitu perkhidmatan bas yang akan membawa kami ke stesen Southern Cross. Tiket Skybus ini telahpun dibeli sewaktu di Malaysia lagi secara atas talian. Harga yang dikenakan adalah RM210 untuk tiket pergi dan balik untuk satu keluarga. Dari Tullamarine Skybus akan membawa penumpang ke stesen Southern Cross yang terletak di Bandaraya Melbourne. Dari Southern Cross terdapat perkhidmatan bas pertukaran yang disediakan secara percuma untuk ke hotel penginapan. Pelancong hanya perlu memaklumkan kepada kaunter tiket maklumat hotel yang akan diinap dan mereka akan menentukan bas mana yang patut dinaiki.

Setiba di Hotel Ibis Budget yang telah pun ditempah melalui laman web Agoda dimaklumkan bahawa pendaftaran masuk adalah pada pukul 1 petang tetapi penginap boleh menyimpan bagasi di hotel sementara menanti daftar masuk. Memandangkan waktu sekitar 10 pagi dan masih lambat untuk daftar masuk. Kami sekeluarga membuat keputusan untuk meronda kawasan sekitar dan juga mencari restoran halal yang terdapat disana. Hotel Ibis Budget ini terletak di lokasi yang sangat strategik iaitu berhampiran dengan stesen utama, Flinders Street dan juga perhentian tram yang berhadapan pintu masuk hotel sahaja. Destinasi pertama adalah melawat stesen Flinders Street yang rekabentuk bangunannya sangat ikonik dan klasik. Sewaktu berjalan di sepanjang jalan ini kami terperasan ada satu restoran halal iaitu Mama Wong Kitchens tapi malangnya waktu perniagaannya hanyalah pada pukul 11.30pagi. Sementara menanti restoran tersebut dibuka kami mencuba menaiki Tram percuma dikenali sebagai City Circle Tram. Tram ini akan membawa kita mengelilingi sekeliling kawasan Bandar Melbourne dan akan berhenti disetiap perhentian. Rupa tram ini buruk tetapi klasik. Setelah selesai mencuba tram ini kami kembali semula semula ke Restoran Mama Wong Kitchens dan memesan nasi goring daging. Harganya memang mahal kalau dibandingkan dengan harga makanan di Malaysia. Untuk 2 pinggan  nasi goreng harga dikenakan adalah RM60 dan air mineral sebotol kecil adalah RM9. Dinasihatkan kepada pelancong untuk membawa bekal air minuman sendiri yang mana boleh diambil di hotel penginapan dan duit tersebut boleh digunakan untuk tujuan lain sepanjang berada disana.

Selesai menjamu selera kami pulang semula ke hotel dengan berjalan kaki sahaja. Melbourne pada waktu itu adalah di penghujung musim sejuk dan suhu sekitar 15 darjah Celsius. Tidak terasa sangat letih berjalan walapupun untuk anak-anak yang masih kecil berusia 6 dan 4 tahun. Setelah selesai daftar masuk ke hotel, kami berehat sebentar di bilik dan keluar semula menuju ke Melbourne Visitor Centre yang terletak bertentangan dengan Stesen Flinders Street. Pengunjung boleh mendapatkan maklumat berkaitan produk perlancongan yang terdapat di Melbourne. Disini kami mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan menyusuri sungai Yarra mengunakan perkhidmatan Melbourne Cruise River. Sebenarnya tiket perkhidmatan ini juga telah dibeli di Malaysia. Pembelian secara atas talian membolehkan kita mendapat potongan 10 peratus. Harga yang dikenakan selepas potongan adalah sebanyak RM132 berbanding pembelian di kaunter iaitu RM150. Kami tiba di kaunter Melbourne Cruise  pada pukul 4 petang dan petugas kaunter memaklumkan bahawa perkhidmatan bot terakhir sepatutnya adalah pada pukul 3.30 petang dan kami sangat bernasib baik apabila pada hari itu terdapat satu lagi bot yang akan membawa sekumpulan pelajar sekolah rendah pada pukul 5 petang dan kami boleh menyertai rombongan tersebut. Tempoh yang diambil untuk menyusuri sungai Yarra ini mengambil masa lebih kurang sejam. Perkhidmatan ini terdapat 2 pakej, satu ke arah hulu dan satu lagi kea rah hilir. Sungai Yarra disini sangat meriah dengan aktiviti rekreasi seperti berkayak dan mendayung.

Dari menyusuri sungai kami terus ke bangunan tertinggi di Melbourne iaitu Eureka Tower. Untuk naik ke sini harga tiket untuk keluarga berharga RM132. Jika kita menginap di hotel hotel tertentu, pengunjung layak untuk menikmati potongan harga. Tarikan utama di Eureka ini ialah Skydeck Edge iaitu dimana pengunjung akan berada di dalam pelantar khas dan pelantar tersebut akan bergerak dan pengunjung akan merasa seolah olah berada di dalam kotak yang terawang-awangan. Hanya saya dan 2 orang anak yang merasai pengalaman ini memandangkan isteri tidak berani mencuba. Cukuplah untuk aktiviti kami pada hari pertama memandangkan anak-anak pun agak keletihan setelah berada dalam pesawat.  Malam di Melbourne agak sunyi yang mana kebanyakkan perniagaan ditutup pada pukul 8 malam kecuali restoran-restoran. Kawasan yang masih hidup di waktu malam adalah di sekitar kawasan China Town yang terletak di Swanston Street.

Hari berikutnya destinasi yang dituju ialah sebuah pasar yang terkenal di kalangan pelancong iaitu Pasar Victoria. Pasar ini mempunyai beberapa kompleks yang menempatkan barangan basah, kering, pakaian, kafe dan juga cenderamata. Kunjungan ke Pasar Victoria perlu menjadi destinasi wajib bagi setiap pelancong. Melihat bagaimana sebuah pasar yang cukup bersih dikendalikan. Sempat mengahabiskan masa selama 3 jam memandangkan temujanji seterusnya adalah menaiki keretapi wap di Puffing Billy Belgrave. Tiket yang dibeli adalah pada pukul 2.30 petang dan kami perlu memastikan tiba di sana pada pukul 2 petang. Perjalanan dari pusat Bandar Melbourne ke Belgrave adalah dengan menaiki keretapi di Stesen Flinders Street dan mengambil masa lebih kurang 1 jam. Dari Puffing Billy pengunjung boleh memilih ke destinasi berdasarkan tiket yang dibeli samada mahu ke Menzies Creek, Lakeside ataupun Gembrook. Keretapi ini akan melalui kawasan-kawasan kampung di Melbourne yang sangat menarik.

Seperti yang dikatakan sebelum ini, tentative pertama pada hari ketiga masih juga Pasar Victoria untuk pastikan yang semua kawasan pasar ini telah pun dijelajah. Disana pengunjung boleh mencuba untuk merasai American Doughnut pada harga RM15 untuk 5 biji. Cuma kali ini kami terpaksa pulang lebih awal kerana mempunyai tempahan dengan agensi Melbourne Australian Tour untuk pakej ke Phillips Island untuk melihat kangaroo, koala dan penguin. Pakej ini mengambil masa selama sehari iaitu dari 10 pagi hingga ke 10 malam. Di Phillips Island kita akan dibawa ke Maru Koala Park untuk melihat Koala dan bermain dengan Kangaroo. Disini anak-anak sangat teruja terutamanya si kecil apabila dapat memberi makan kangaroo dan melihat kangaroo secara berdepan. Masa sejam setengah diberikan disini kemudian dibawa pula ke Panny’s Chocolate Factory dan akhir sekali adalah melihat perarakan pulang penguin dari laut ke sarang masing masing. Untuk melihat penguin pengunjung dinasihat datang pada masa yang tepat supaya tidak terlepas melihat penguin.

Hari Ahad adalah merupakan hari terkahir kami untuk menghabiskan masa sepenuhnya sebelum pulang ke Malaysia keesokkan harinya. Pasar Victoria masih menjadi lokasi wajib dan apa yang diperhatikan harga barangan yang dijual di pasar ini adlah berbeza mengikut hari. Dimana hari Jumaat dan Sabtu harga barangan terutamanya cenderamata lebih murah berbanding hari Ahad. Mungkin faktor masyarakat Melbourne akan berbelanja pada hari Ahad memandangkan hari tersebut adalah cuti hujung minggu disana. Dari Pasar Victoria destinasi berikutnya adalak Fitzroy Garden yang menempatkan  Cook Cottage iaitu sebuah rumah lama peninggalan Captain James Cook. Kebanyakkan taman di Melbourne ini sangat terpelihara dan bersih dan sesuai untuk aktiviti riadah. Perjalanan ke sini hanya menggunakan tram berbayar. Untuk perkhidmatan tram ini kita perlu mempunyai kad Myki iatu seperti kad Touch N Go di Malaysia. Cuma kami masih keliru dengan tatacara penggunaannya. Bila masa perlu disentuh masuk dan bila perlu disentuh keluar kerana diperhatikan kebanyakkan penumpang hanya menyentuh masuk tapi tidak sewaktu turun dari tram. Satu lagi perkara yang perlu diambil berat adalah Myki ini kadang-kadang diperiksa oleh pegawai penguatkuasa untuk memastikan penumpang mempunyai kad Myki yang sah.


Selesai bersiar-siar di Fitzroy Garden berikut kami ke DFO Southwharf iaitu sebuah pusat beli belah di Melbourne. DFO Southwharf menempatkan banyak kedai-kedai pakaian berjenama dan harga yang ditawarkan memang lebih murah dari harga di Malaysia. Sesiapa yang obsess dengan jenama mungkin tidak akan lepaskan peluang untuk berbelanja di sini. Sebenarnya banyak lagi pusat beli belah di Melbourne seperti di Harbour Town dan Melbourne Central cuma masa tidak mengizinkan untuk kami ke sana. Untuk yang kaki berbelanja mungkin akan menjadi rambang mata jika berada di Melbourne sementelah di hadapan hotel yang kami inap juga terdapat butik Coach, H&M dan juga Melbourne GPO. Malamnya kami sekadar bersiar-siar di kawasan sekitar hotel sambil mencari restoran makanan halal iaitu Nelayan Restaurant Indonesia dan Mamak kerana esoknya 6 pagi sudah perlu bertolak dari hotel ke Lapangan Terbang Tullamarine memandangkan penerbangan ke KLIA2 adalah pada pukul 9.30 pagi.


Jika diikutkan hati memang tidak cukup berada disana selama 4 malam. Banyak lagi tempat yang tidak sempat dijelajahi seperti St. Kilda Beach, Great Ocean Road, Ballarat dan juga Mt Buller. Mungkin satu hari nanti jika ada rezeki dapat menjejakkan kaki lagi kesini.