CNP dari Ruangan Catatan Kembara Utusan Malaysia...
Ibarat pucuk dicita ulam mendatang, promosi Air
Asia X yang menawarkan penerbangan tambang murah ke Melbourne terus ditempah
walaupun terpaksa menunggu jadual penerbangan lagi 9 bulan. Harga promosi yang
ditawarkan hanyalah RM650 seorang pergi balik tidak termasuk makananan dan juga
bagasi. Kos kos ini boleh ditempah kemudian yang penting tiketnya dahulu. Sembilan bulan menanti akhirnya pada 27hb
Ogos 2014 kami sekeluarga yang terdiri daripada saya dan isteri serta 3 orang
anak –anak berlepas dari KLIA2 menuju ke Melbourne.
Penerbangan yang masa selama 8 jam akhirnya tiba di Lapangan Terbang Tullamarine pada pukul 8.30 pagi.
Mengikut kata-kata dari blog yang dibaca, Australia adalah Negara yang agak
ketat dari segi tapisan kastam untuk kemasukan barang makanan dari luar.
Awal-awal lagi borang perisytiharan kastam sudah disediakan dan kami bernasib
baik kerana sepanjang urusan kastam dan imigresen disana tidak ada langsung
masalah dan dibenarkan ke balai ketibaan tanpa pemeriksaan.
Keluar saja dari balai ketibaan kami terus mencari
kaunter Skybus iaitu perkhidmatan
bas yang akan membawa kami ke stesen Southern
Cross. Tiket Skybus ini telahpun
dibeli sewaktu di Malaysia lagi secara atas talian. Harga yang dikenakan adalah
RM210 untuk tiket pergi dan balik untuk satu keluarga. Dari Tullamarine Skybus akan membawa
penumpang ke stesen Southern Cross
yang terletak di Bandaraya Melbourne.
Dari Southern Cross terdapat
perkhidmatan bas pertukaran yang disediakan secara percuma untuk ke hotel
penginapan. Pelancong hanya perlu memaklumkan kepada kaunter tiket maklumat
hotel yang akan diinap dan mereka akan menentukan bas mana yang patut dinaiki.
Setiba di Hotel
Ibis Budget yang telah pun ditempah melalui laman web Agoda dimaklumkan bahawa pendaftaran masuk adalah pada pukul 1
petang tetapi penginap boleh menyimpan bagasi di hotel sementara menanti daftar
masuk. Memandangkan waktu sekitar 10 pagi dan masih lambat untuk daftar masuk.
Kami sekeluarga membuat keputusan untuk meronda kawasan sekitar dan juga
mencari restoran halal yang terdapat disana. Hotel Ibis Budget ini terletak di lokasi yang sangat strategik
iaitu berhampiran dengan stesen utama, Flinders
Street dan juga perhentian tram yang berhadapan pintu masuk hotel sahaja.
Destinasi pertama adalah melawat stesen Flinders
Street yang rekabentuk bangunannya sangat ikonik dan klasik. Sewaktu
berjalan di sepanjang jalan ini kami terperasan ada satu restoran halal iaitu Mama Wong Kitchens tapi malangnya waktu
perniagaannya hanyalah pada pukul 11.30pagi. Sementara menanti restoran
tersebut dibuka kami mencuba menaiki Tram percuma dikenali sebagai City Circle Tram. Tram ini akan membawa
kita mengelilingi sekeliling kawasan Bandar Melbourne dan akan berhenti
disetiap perhentian. Rupa tram ini buruk tetapi klasik. Setelah selesai mencuba
tram ini kami kembali semula semula ke Restoran Mama Wong Kitchens dan memesan nasi goring daging. Harganya memang
mahal kalau dibandingkan dengan harga makanan di Malaysia. Untuk 2 pinggan nasi goreng harga dikenakan adalah RM60 dan
air mineral sebotol kecil adalah RM9. Dinasihatkan kepada pelancong untuk
membawa bekal air minuman sendiri yang mana boleh diambil di hotel penginapan
dan duit tersebut boleh digunakan untuk tujuan lain sepanjang berada disana.
Dari menyusuri sungai kami terus ke bangunan
tertinggi di Melbourne iaitu Eureka Tower. Untuk naik ke sini harga
tiket untuk keluarga berharga RM132. Jika kita menginap di hotel hotel
tertentu, pengunjung layak untuk menikmati potongan harga. Tarikan utama di Eureka ini ialah Skydeck Edge iaitu dimana pengunjung akan berada di dalam pelantar
khas dan pelantar tersebut akan bergerak dan pengunjung akan merasa seolah olah
berada di dalam kotak yang terawang-awangan. Hanya saya dan 2 orang anak yang
merasai pengalaman ini memandangkan isteri tidak berani mencuba. Cukuplah untuk
aktiviti kami pada hari pertama memandangkan anak-anak pun agak keletihan
setelah berada dalam pesawat. Malam di Melbourne agak sunyi yang mana
kebanyakkan perniagaan ditutup pada pukul 8 malam kecuali restoran-restoran. Kawasan
yang masih hidup di waktu malam adalah di sekitar kawasan China Town yang terletak di Swanston
Street.
Hari berikutnya destinasi yang dituju ialah sebuah
pasar yang terkenal di kalangan pelancong iaitu Pasar Victoria. Pasar ini mempunyai beberapa kompleks yang
menempatkan barangan basah, kering, pakaian, kafe dan juga cenderamata.
Kunjungan ke Pasar Victoria perlu
menjadi destinasi wajib bagi setiap pelancong. Melihat bagaimana sebuah pasar
yang cukup bersih dikendalikan. Sempat mengahabiskan masa selama 3 jam
memandangkan temujanji seterusnya adalah menaiki keretapi wap di Puffing Billy Belgrave. Tiket yang
dibeli adalah pada pukul 2.30 petang dan kami perlu memastikan tiba di sana
pada pukul 2 petang. Perjalanan dari pusat Bandar
Melbourne ke Belgrave adalah dengan menaiki keretapi di Stesen Flinders Street dan mengambil masa
lebih kurang 1 jam. Dari Puffing Billy
pengunjung boleh memilih ke destinasi berdasarkan tiket yang dibeli samada mahu
ke Menzies Creek, Lakeside ataupun Gembrook. Keretapi ini akan melalui
kawasan-kawasan kampung di Melbourne yang sangat menarik.
Jika diikutkan hati memang tidak cukup berada
disana selama 4 malam. Banyak lagi tempat yang tidak sempat dijelajahi seperti St. Kilda Beach, Great Ocean Road, Ballarat
dan juga Mt Buller. Mungkin satu
hari nanti jika ada rezeki dapat menjejakkan kaki lagi kesini.