Tinggi di Awan

Tinggi di Awan

Sunday, 15 May 2016

Jalan2@Melbourne

CNP dari Ruangan Catatan Kembara Utusan Malaysia...

Ibarat pucuk dicita ulam mendatang, promosi Air Asia X yang menawarkan penerbangan tambang murah ke Melbourne terus ditempah walaupun terpaksa menunggu jadual penerbangan lagi 9 bulan. Harga promosi yang ditawarkan hanyalah RM650 seorang pergi balik tidak termasuk makananan dan juga bagasi. Kos kos ini boleh ditempah kemudian yang penting tiketnya dahulu.  Sembilan bulan menanti akhirnya pada 27hb Ogos 2014 kami sekeluarga yang terdiri daripada saya dan isteri serta 3 orang anak –anak berlepas dari KLIA2 menuju ke Melbourne. Penerbangan yang masa selama 8 jam akhirnya tiba di Lapangan Terbang Tullamarine pada pukul 8.30 pagi. Mengikut kata-kata dari blog yang dibaca, Australia adalah Negara yang agak ketat dari segi tapisan kastam untuk kemasukan barang makanan dari luar. Awal-awal lagi borang perisytiharan kastam sudah disediakan dan kami bernasib baik kerana sepanjang urusan kastam dan imigresen disana tidak ada langsung masalah dan dibenarkan ke balai ketibaan tanpa pemeriksaan.

Keluar saja dari balai ketibaan kami terus mencari kaunter Skybus iaitu perkhidmatan bas yang akan membawa kami ke stesen Southern Cross. Tiket Skybus ini telahpun dibeli sewaktu di Malaysia lagi secara atas talian. Harga yang dikenakan adalah RM210 untuk tiket pergi dan balik untuk satu keluarga. Dari Tullamarine Skybus akan membawa penumpang ke stesen Southern Cross yang terletak di Bandaraya Melbourne. Dari Southern Cross terdapat perkhidmatan bas pertukaran yang disediakan secara percuma untuk ke hotel penginapan. Pelancong hanya perlu memaklumkan kepada kaunter tiket maklumat hotel yang akan diinap dan mereka akan menentukan bas mana yang patut dinaiki.

Setiba di Hotel Ibis Budget yang telah pun ditempah melalui laman web Agoda dimaklumkan bahawa pendaftaran masuk adalah pada pukul 1 petang tetapi penginap boleh menyimpan bagasi di hotel sementara menanti daftar masuk. Memandangkan waktu sekitar 10 pagi dan masih lambat untuk daftar masuk. Kami sekeluarga membuat keputusan untuk meronda kawasan sekitar dan juga mencari restoran halal yang terdapat disana. Hotel Ibis Budget ini terletak di lokasi yang sangat strategik iaitu berhampiran dengan stesen utama, Flinders Street dan juga perhentian tram yang berhadapan pintu masuk hotel sahaja. Destinasi pertama adalah melawat stesen Flinders Street yang rekabentuk bangunannya sangat ikonik dan klasik. Sewaktu berjalan di sepanjang jalan ini kami terperasan ada satu restoran halal iaitu Mama Wong Kitchens tapi malangnya waktu perniagaannya hanyalah pada pukul 11.30pagi. Sementara menanti restoran tersebut dibuka kami mencuba menaiki Tram percuma dikenali sebagai City Circle Tram. Tram ini akan membawa kita mengelilingi sekeliling kawasan Bandar Melbourne dan akan berhenti disetiap perhentian. Rupa tram ini buruk tetapi klasik. Setelah selesai mencuba tram ini kami kembali semula semula ke Restoran Mama Wong Kitchens dan memesan nasi goring daging. Harganya memang mahal kalau dibandingkan dengan harga makanan di Malaysia. Untuk 2 pinggan  nasi goreng harga dikenakan adalah RM60 dan air mineral sebotol kecil adalah RM9. Dinasihatkan kepada pelancong untuk membawa bekal air minuman sendiri yang mana boleh diambil di hotel penginapan dan duit tersebut boleh digunakan untuk tujuan lain sepanjang berada disana.

Selesai menjamu selera kami pulang semula ke hotel dengan berjalan kaki sahaja. Melbourne pada waktu itu adalah di penghujung musim sejuk dan suhu sekitar 15 darjah Celsius. Tidak terasa sangat letih berjalan walapupun untuk anak-anak yang masih kecil berusia 6 dan 4 tahun. Setelah selesai daftar masuk ke hotel, kami berehat sebentar di bilik dan keluar semula menuju ke Melbourne Visitor Centre yang terletak bertentangan dengan Stesen Flinders Street. Pengunjung boleh mendapatkan maklumat berkaitan produk perlancongan yang terdapat di Melbourne. Disini kami mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan menyusuri sungai Yarra mengunakan perkhidmatan Melbourne Cruise River. Sebenarnya tiket perkhidmatan ini juga telah dibeli di Malaysia. Pembelian secara atas talian membolehkan kita mendapat potongan 10 peratus. Harga yang dikenakan selepas potongan adalah sebanyak RM132 berbanding pembelian di kaunter iaitu RM150. Kami tiba di kaunter Melbourne Cruise  pada pukul 4 petang dan petugas kaunter memaklumkan bahawa perkhidmatan bot terakhir sepatutnya adalah pada pukul 3.30 petang dan kami sangat bernasib baik apabila pada hari itu terdapat satu lagi bot yang akan membawa sekumpulan pelajar sekolah rendah pada pukul 5 petang dan kami boleh menyertai rombongan tersebut. Tempoh yang diambil untuk menyusuri sungai Yarra ini mengambil masa lebih kurang sejam. Perkhidmatan ini terdapat 2 pakej, satu ke arah hulu dan satu lagi kea rah hilir. Sungai Yarra disini sangat meriah dengan aktiviti rekreasi seperti berkayak dan mendayung.

Dari menyusuri sungai kami terus ke bangunan tertinggi di Melbourne iaitu Eureka Tower. Untuk naik ke sini harga tiket untuk keluarga berharga RM132. Jika kita menginap di hotel hotel tertentu, pengunjung layak untuk menikmati potongan harga. Tarikan utama di Eureka ini ialah Skydeck Edge iaitu dimana pengunjung akan berada di dalam pelantar khas dan pelantar tersebut akan bergerak dan pengunjung akan merasa seolah olah berada di dalam kotak yang terawang-awangan. Hanya saya dan 2 orang anak yang merasai pengalaman ini memandangkan isteri tidak berani mencuba. Cukuplah untuk aktiviti kami pada hari pertama memandangkan anak-anak pun agak keletihan setelah berada dalam pesawat.  Malam di Melbourne agak sunyi yang mana kebanyakkan perniagaan ditutup pada pukul 8 malam kecuali restoran-restoran. Kawasan yang masih hidup di waktu malam adalah di sekitar kawasan China Town yang terletak di Swanston Street.

Hari berikutnya destinasi yang dituju ialah sebuah pasar yang terkenal di kalangan pelancong iaitu Pasar Victoria. Pasar ini mempunyai beberapa kompleks yang menempatkan barangan basah, kering, pakaian, kafe dan juga cenderamata. Kunjungan ke Pasar Victoria perlu menjadi destinasi wajib bagi setiap pelancong. Melihat bagaimana sebuah pasar yang cukup bersih dikendalikan. Sempat mengahabiskan masa selama 3 jam memandangkan temujanji seterusnya adalah menaiki keretapi wap di Puffing Billy Belgrave. Tiket yang dibeli adalah pada pukul 2.30 petang dan kami perlu memastikan tiba di sana pada pukul 2 petang. Perjalanan dari pusat Bandar Melbourne ke Belgrave adalah dengan menaiki keretapi di Stesen Flinders Street dan mengambil masa lebih kurang 1 jam. Dari Puffing Billy pengunjung boleh memilih ke destinasi berdasarkan tiket yang dibeli samada mahu ke Menzies Creek, Lakeside ataupun Gembrook. Keretapi ini akan melalui kawasan-kawasan kampung di Melbourne yang sangat menarik.

Seperti yang dikatakan sebelum ini, tentative pertama pada hari ketiga masih juga Pasar Victoria untuk pastikan yang semua kawasan pasar ini telah pun dijelajah. Disana pengunjung boleh mencuba untuk merasai American Doughnut pada harga RM15 untuk 5 biji. Cuma kali ini kami terpaksa pulang lebih awal kerana mempunyai tempahan dengan agensi Melbourne Australian Tour untuk pakej ke Phillips Island untuk melihat kangaroo, koala dan penguin. Pakej ini mengambil masa selama sehari iaitu dari 10 pagi hingga ke 10 malam. Di Phillips Island kita akan dibawa ke Maru Koala Park untuk melihat Koala dan bermain dengan Kangaroo. Disini anak-anak sangat teruja terutamanya si kecil apabila dapat memberi makan kangaroo dan melihat kangaroo secara berdepan. Masa sejam setengah diberikan disini kemudian dibawa pula ke Panny’s Chocolate Factory dan akhir sekali adalah melihat perarakan pulang penguin dari laut ke sarang masing masing. Untuk melihat penguin pengunjung dinasihat datang pada masa yang tepat supaya tidak terlepas melihat penguin.

Hari Ahad adalah merupakan hari terkahir kami untuk menghabiskan masa sepenuhnya sebelum pulang ke Malaysia keesokkan harinya. Pasar Victoria masih menjadi lokasi wajib dan apa yang diperhatikan harga barangan yang dijual di pasar ini adlah berbeza mengikut hari. Dimana hari Jumaat dan Sabtu harga barangan terutamanya cenderamata lebih murah berbanding hari Ahad. Mungkin faktor masyarakat Melbourne akan berbelanja pada hari Ahad memandangkan hari tersebut adalah cuti hujung minggu disana. Dari Pasar Victoria destinasi berikutnya adalak Fitzroy Garden yang menempatkan  Cook Cottage iaitu sebuah rumah lama peninggalan Captain James Cook. Kebanyakkan taman di Melbourne ini sangat terpelihara dan bersih dan sesuai untuk aktiviti riadah. Perjalanan ke sini hanya menggunakan tram berbayar. Untuk perkhidmatan tram ini kita perlu mempunyai kad Myki iatu seperti kad Touch N Go di Malaysia. Cuma kami masih keliru dengan tatacara penggunaannya. Bila masa perlu disentuh masuk dan bila perlu disentuh keluar kerana diperhatikan kebanyakkan penumpang hanya menyentuh masuk tapi tidak sewaktu turun dari tram. Satu lagi perkara yang perlu diambil berat adalah Myki ini kadang-kadang diperiksa oleh pegawai penguatkuasa untuk memastikan penumpang mempunyai kad Myki yang sah.


Selesai bersiar-siar di Fitzroy Garden berikut kami ke DFO Southwharf iaitu sebuah pusat beli belah di Melbourne. DFO Southwharf menempatkan banyak kedai-kedai pakaian berjenama dan harga yang ditawarkan memang lebih murah dari harga di Malaysia. Sesiapa yang obsess dengan jenama mungkin tidak akan lepaskan peluang untuk berbelanja di sini. Sebenarnya banyak lagi pusat beli belah di Melbourne seperti di Harbour Town dan Melbourne Central cuma masa tidak mengizinkan untuk kami ke sana. Untuk yang kaki berbelanja mungkin akan menjadi rambang mata jika berada di Melbourne sementelah di hadapan hotel yang kami inap juga terdapat butik Coach, H&M dan juga Melbourne GPO. Malamnya kami sekadar bersiar-siar di kawasan sekitar hotel sambil mencari restoran makanan halal iaitu Nelayan Restaurant Indonesia dan Mamak kerana esoknya 6 pagi sudah perlu bertolak dari hotel ke Lapangan Terbang Tullamarine memandangkan penerbangan ke KLIA2 adalah pada pukul 9.30 pagi.


Jika diikutkan hati memang tidak cukup berada disana selama 4 malam. Banyak lagi tempat yang tidak sempat dijelajahi seperti St. Kilda Beach, Great Ocean Road, Ballarat dan juga Mt Buller. Mungkin satu hari nanti jika ada rezeki dapat menjejakkan kaki lagi kesini.

Monday, 27 July 2015

Trip to Guilin - Trip 1

9 April baru ni aku berpeluang la jejak kaki ke Guilin..actually ada urusan kerja kat sana..inspect machine sebelum nak hantar ke malaysia..tp dah alang2 pegi sana mestila kena spend 1 day utk tour..normal practise..

Hari 1st sampai kat guilin suhu agak sejuk jgk lbh kurang 10deg.C dan mendung x nampak matahari n hujan sikit2...Airport Guilin nampak mcm suram ja dan org pun x ramai..pas settle je urusan imigresen terus keluar dari airport dah org tunggu...Mr. Albert..dia ni la yg akan bawak aku pegi buat inspection n arrange 1 day tour kat sana..

Dari airport nak ke guilin city amik masa lebih kurang 40 minit..Hotel semua Mr. Albert ni dah book kat Sheraton Guilin. Pas check in so dia bawak aku pegi makan kat kedai halal di area Jalan Zhangshan Lu..x sure pulak owner dia ni muslim ke tak sbb confident ada tanda halal depan pintu kedai..

Kat kedai tu dah ada satu grup dari kilang yang tunggu dan diorang yg order mkn...aku cuma tunggu makanan sampai je...

Suasana dlm kedai
















Bila cuaca sejuk2 ni bila makanan tu sampai mmg x tunggu dah la..asal sampai je lauk terus makan..ni mgkin style chinesse..diaorang ni byk mkn lauk nasik kurang..
                                                                                                                                                               
Ada tanda halal kat situ

Habis je makan kitaorang terus pegi ke kilang untuk buat inspection..perjalanan lebih kurang 1 jam..sepanjang jalan tu boleh la tgk view yg menarik dan sinonim dgn Guilin..Gunung Ganang..rasa mcm kat area ipoh pulak kawasan yg banyak bukit batu kapur tu..


Kitaorang spend masa lebih kurang 3 jam kat kilang tu..visit seluruh operasi kilang then ada discussion n clear everything so kitaorng pun balik ke hotel..gambar2 waktu inspection tu aku x upload sbb tu melibatkan kerja so x payahla share...

Dah sampai hotel..rest n solat dulu dlm setengah jam dah turun balik ke lobi..nak tunggu org bawak pegi dinner..kali ni kedai muslim uighur..byk jgk rupanya kedai muslim kat sini...

Ni kedai dia
Kat sini makanan dia berasaskan etnik uighur..ada kambing panggang..lamb puff..sup sayur berempah..kari uighur (macam masak kurma) n byk lg...

Tp sup sayur dia memang x lepas dgn selera org malaysia..ada satu rempah tu bila tergigit..kebas satu mulut n wangi sgt sampai hilang selera nak makan...yg boleh makan cuma sup kambing, kambing bakar..daging bakar je...yg lain tu cuma makan sikit buat syarat hormat org yg bawak mkn tu...

Cukupla takat tu dulu...nt aku cerita lg pengalaman sepanjang berada di guilin dl post yg akan datang...



Projek Landskap Halaman Lepas Raya

Luas tanah cuma sekangkang kera (sebenarnya lg besaq dari kangkang kera)..sebelum ni dah penah tanam rumput karpet tp nak jimat punya pasal tanam jarak2..kononnya nanti boleh jaga...

tp tu sikap manusia...hangat2 taik ayam...dah tanam pastu biar..last2 tumbuh segala aneka rumput...

so kali ni semangat tu mai balik nak tanam rumput...cuma kali ni tak mau save mcm dulu dah..kali ni tanam bg rapat2..

Benda pertama sekali kena buat...clearkan kawasan dulu....mcm kat bawah ni...
















Dah siap tu kena ratakan la pulak...satu hal pulak...tak level2..agak beralun...ok la tu sbb buat sendiri tak ada upah orang yang pakar...

dah siap semua tu baru pegi cari rumput...ada satu nursery yang jual rumput ni bagi harga RM2.50 sekeping minimum 50 keping...ambil 100 keping...harap2 cukupla...





Dah siap tanam sebahagian kecik...ada lagi belen x tanam...rest dulu...kat tepi longkang tu kalo perasan ada pokok hiasan (tak tau jenis) daun kaler merah...niat di hati nak buat mcm pagar sepanjang longkang tu...












Nak bagi cantik lagi try jugak bubuh batu putih kat keliling longkang tu...nampak la berseri sikit...

Bila dah letak rumput tu rupanya banyak lg tak cukup..nak kena beli tambah lg...

Dlm pada tu try la jugak surf google recce2 idea landskap org...yg mana boleh pakai kita ambik...ada lagi pokok nak kena beli..kena cari kaler maler punya baru ceria di hari raya...


So pasni pagi petang kena siram...kdg2 anak2 yg jadi mangsa suh siram...lps ni ada lg planning nak kena buat..nak letak kerusi kayu..tanam pokok lg...yg tu kemudian la tunggu rumput tu subur dulu...

Utk planning akan datang nt akan di update...tunggu bila ada masa...


Thursday, 2 April 2015

Ingin Melancong Tapi Bajet Ciput

Sukasuka Heart: Ingin Melancong Tapi Bajet Ciput......
Ramai yg tr...
: Ingin Melancong Tapi Bajet Ciput...... Ramai yg tringin nak melancong tp bila sebut pasal duit...tak jadi nak teruskan apatah lg kalau na...

Monday, 30 March 2015

Ingin Melancong Tapi Bajet Ciput......

Ramai yg tringin nak melancong tp bila sebut pasal duit...tak jadi nak teruskan apatah lg kalau nak bawak satu family...


So kat sini aku nak share serba sedikit pengalaman cara melancong untuk org yang x brapa ada duit..bkn xda duit langsung...xda duit langsung mmg x leh nak buat apa la...

Mula2 skali simpan duit dulu ikut target ke mana kita nak melancong dalam atau luar negeri...so dari situ kita tahu berapa bajet yg diperlukan. 

Let say kita nak bawak family melancong dalam negeri contohnya ke Melaka..(melaka antara negeri yg menarik utk dilawati). Katakan bajet yg kita ada hanyalah RM1000. Kat bawah ni antara perkara yg selalu aku buat bila nak jalan2...

1. Survey hotel guna booking.com or agoda.com or mana2 online booking dlm internet..so kat situ kita dpt rate harga yg murah dan sesuai dgn bajet yg kita ada...tetapkan berapa hari kita nak pergi..kalo melaka cukup 2 hari 1 malam ja...tak payah lama2 nt bosan pulak...

Rate hotel 1 malam - RM220 (dkt area bandar melaka) (ada breakfast - hotel lg murah pun ada tp x brapa menarik la hotel dia dan xda breakfast)

2. Tetapkan destinasi mana yg kita nak bawak family kita..kalo dah kata bawak family mungkin tempat yg sesuai mcm..Tmn Mini Malaysia...Taman Buaya...Zoo Melaka...Kota A' Famosa...Muzium Melaka...Muzium TLDM....Menara Taming Sari...Makam Hang Tuah...dan lain2 tempat bersejarah

Destinasi yg kita nak tuju ada 2 jenis...satu berbayar dan satu lg percuma..daripada senarai td kita limitkan bajet yg kita nak keluarkan...katakan RM300 shj...satu family mgkin cuma ada 2 dewasa dan 3 kanak2... rasanya xda masalah utk bajet byk tu...Mcm tmn mini malaysia, tmn buaya..zoo melaka tiket masuk mgkin agak mahal so pilih 2 ja mcm Tmn mini n Zoo...tmn buaya x payah pergi sbb dlm zoo pun dah ada buaya...mcm kota A famosa...muzium tu dan tempat2 bersejarah tiket murah ja dan ada yang percuma...

3. Kalau mcm aku dari Kedah...kena calculate kos tol dan minyak kereta...
    Tol pergi balik - RM150 (boleh jimat lg kalo byk guna jalan biasa kurangkan hiway)
    Petrol - RM150 (boleh jimat lg berdasarkan CC kereta dan cara pemanduan)

4. Makan2 dan souvenir - Selalunya hotel ada breakfast..fully utilize breakfast yg disediakan...jgn sarapan di luar...utk luch dan dinner just mkn mcm biasa...harga mkn kat melaka x la mahal sgt..sekali mkn dinner or lunch utk 1 family mgkin dlm RM40 - RM50

Lunch 2 x - RM45 (Time on de way perjalanan mgkn akan singgah di RnR hiway)
Dinner 2 x - RM45 ( Time on de way balik mgkn akan singgah di RnR hiway) 
Total - RM160

Souvenir2 cukup la sekadar keychain ke magnet peti ais ke...x payah la nak beli kasut terompah bagai..kain sutera baba nyonya apa...namapun jalan2 bajet ciput...

Daripada total duit yg pakai kat atas tu boleh la disimpulkan...ada RM1000 dah boleh jalan2 bersama keluarga ibarat pepatah melayu...jauh berjalan luas pemandangan banyak pengalaman...


Nanti aku akan post pulak dengan RM1000 tu kita pergi melancong ke luar negara pulak...


Sunday, 29 March 2015

Ni adalah post pertama untuk blog ni..before ni penah jugak buat blog tapi malas nak update..so buat blog baru tp xda idea nak tulis apa...paling mudah just copy paste...actually post kat bawah ni dah disiarkan dalam Mingguan Malaysia di halaman "catatan kembara" cerita kat bawah ni aku tulis sendiri ye..jadi ayat2 yang diguna pakai mungkin x sesuai untuk rujukan waktu SPM...





Kali pertama datang ke Osaka atas urusan kerja membuat hati  teruja untuk datang sekali lagi ke sini bersama dengan anak-anak dan isteri. Apatah lagi dengan promosi tambang murah oleh AirAsia X menguatkan lagi hasrat untuk melancong ke Osaka walaupun terpaksa membuat tempahan 10 bulan awal.

Setelah melalui penerbangan selama 6 jam dari LCCT akhirnya sampai juga kami di Lapangan Terbang Kansai walaupun penerbangan lewat daripada yang dijadualkan akibat masalah teknikal. Perkara pertama yang perlu dilakukan selepas menyelesaikan urusan imigresen dan bagasi terus kami mencari perkhidmatan Limo Bas untuk ke destinasi pertama iaitu Kyoto. Kos bas agak murah dan juga mudah untuk ke Kyoto dibandingkan dengan keretapi ataupun teksi.

Dengan harga lebih kurang RM80 untuk seorang dewasa dan separuh harga untuk kanak-kanak mungkin agak mahal berbanding dengan harga di Malaysia. Tetapi perkhidmatannya cukup terbaik dimana semua bagasi akan diuruskan oleh pemandu bas sendiri.  Perjalanan ke Kyoto dari Osaka mengambil masa 2 jam setengah. Setelah tiba di Kyoto Station dan kami terus mencari hotel VISTA Kyoto yang ditempah melalui laman web booking.com. Lokasi hotel ini adalah berhadapan dengan Kyoto Station dan akan memudahkan kita untuk kemana-mana. Setelah selesai mendaftar masuk dan menyimpan barang kami terus merancang ke tempat tarikan pertama di Kyoto iaitu Istana Nijo. Tapi agak malang bagi kami kerana Istana tersebut telah pun tutup pada pukul 4.30 petang. Cukuplah  sekadar  mengelilingi kawasan istana dan bergambar. Hari pertama di Kyoto kami cuma berjalan-jalan meninjau kawasan station keretapi bawah tanah dan juga kawasan berdekatan dengan hotel.
Destinasi hari kedua di Kyoto adalah SAGANO ROMANTIC TRAIN. Berbekalkan peta Kyoto dan maklumat berkenaan tempat-tempat menarik kami memulakan perjalanan. Yang paling penting sekali adalah peta laluan keretapi.  Ini yang akan cukup membantu kita sepanjang berada di Jepun.
Dari Kyoto Station kami mengambil keretapi JR Sagano dan terus ke station JR Saga Arashiyama dengan kos lebih kurang RM12 seorang dewasa. Sagano Romantic Train boleh dinaiki di station Torokko Saga yang berdekatan dengan station Saga Arashiyama. Sepanjang menaiki Sagano Romantic Train kita boleh menikmati keindahan sungai sepanjang perjalanan keretapi dan kemudian berpatah balik ke Station Torokko Saga. Di sini juga terdapat kawasan buluh yang dipanggil Bamboo Groove. Untuk makluman pembaca juga di Sagano terdapat perkhidmatan menyusuri sungai dengan bot tradisional. Kosnya mungkin agak mahal dan masa yang diambil agak lama.
 
Dari Sagano destinasi seterusnya adalah Toei Kyoto Studio Park. Cuma untuk ke sini agak jauh sedikit terpaksa berjalan dari stesen keretapi yang terdekat. Dengan anak yang masih kecil, kereta sorong menjadi pembantu yang amat berguna. Kunjungan ke studio ini amat berbaloi bagi anak-anak kerana dapat melihat watak karton yang mereka tonton melalui televisyen. Untuk masuk kesini anda perlu membeli tiket yang boleh dikira agak mahal iaitu RM90 seorang.  Walaupun mahal, bagi yang datang berkeluarga anda perlu mengunjungi ke sini dan dijamin berbaloi.



Habis saja menjelajah keseluruhan kawasan studio kami terus pulang ke hotel untuk check out dan menuju ke Kyoto Station untuk ke Osaka pula. Sudah tentu keretapi laju yang dikenali Shinkansen menjadi pilihan . Harga tiket yang agak murah Cuma RM63 seorang dan caj separuh kepada kanak-kanak.  Hanya mengambil masa 15minit untuk stesen Shin-Osaka.
Keratapi laju Shinkansen

Sampainya di Osaka tugas seterusnya adalah mencari keretapi bawah tanah untuk ke hotel Hearton Shinshaibasi.  Mencari hotel di waktu malam memang agak mencabar tambahan pula hotel yang ditempah bukan berada di jalan utama. Satu perkara yang menarik berkenaan Jepun ialah masyarakatnya sangat “friendly” sentiasa membantu walaupun kadang-kadang menyusahkan kita balik kerana faktor bahasa. Setelah puas mencari akhirnya jumpa juga hotel yang dicari. Biliknya agak kecil dan tak berpadanan dengan harga.  Nama pun Jepun antara negara yang kos sara hidup yang paling tinggi di dunia.


Esok paginya kami memulakan pencarian ke Universal Studio Japan, sebuah taman tema yang menarik tapi mungkin kurang sesuai untuk kanak-kanak. Banyak permainan hanya boleh disertai oleh remaja dan dewasa. Kami berada sehari suntuk disini. (Rugi kalau keluar awal selepas bayar tiket yang boleh tahan mahalnya). Sebelum pulang ke hotel jangan lupa singgah di Hard Rock Café Osaka untuk membeli sehelai dua baju sebagai tanda kenangan yang kita dah pernah sampai di Osaka. Waktu malam kami hanya dihabiskan dengan bersiar-siar di kawasan Shinshaibashi.

Hari berikutnya kami ke Osaka Aquarium dan juga “Giant Ferris Wheel”.  Sepanjang kami berada di Jepun makanan halal juga agak mudah didapati di kebanyakkan tempat tumpuan pelancong. Harga makanan halal agak mahal dan tidak menjadi masalah jika anda mempunyai bajet yang besar. Seperti percutian kami ini yang lebih menjurus kepada percutian bajet kami  lebih selesa membawa bekal sendiri yang dipek di  Malaysia lagi seperti serunding dan sambal bilis. Nasi boleh dimasak sendiri ataupun cuma beli terus dari kedai 24jam. Untuk tambahan lauk kami cuma perlu beli telur dan rebus di hotel mengguna pemanas air.

Dari Shinshaibashi kami bertukar ke hotel lain iaitu di New Otani Osaka.  Sekadar untuk merasa bagaimana hotel lima bintang di Osaka dengan harga RM600 semalam. Lokasinya agak jauh dari pusat bandar . Menariknya lokasi hotel ini berdekatan dengan Osaka Castle dan dapat dilihat dari bilik penginapan kita.


Di kawasan hotel ini terdapat kompleks perniagaan yang boleh dikunjungi jika anda tidak berhasrat kemana-mana dengan pengangkutan awam.

Sarapan pagi kami pada hari ke-5 sekadar menikmati secawan kopi dan donut di kafe yang terdapat berhampiran hotel. Selesai sarapan terus ke Osaka Castle. Di sini terdapat satu dewan besar yang menjadi venue untuk mana-mana acara hiburan. Sekitar kawasan Osaka Castle terdapat pelbagai taman dan padang rekreasi yang menjadi tumpuan penduduk Osaka di hujung minggu. Bangunan Osaka Castle mempunyai 7 tingkat dan kita boleh menaiki lif dan perlu turun menggunakan tangga untuk turun. Tak pasti tujuannya tapi mungkin untuk memastikan pengunjung dapat melihat semua yang ada di dalam istana ini. Pengunjung juga boleh membeli cenderamata yang dijual di kawasan sekitar istana. Harga cenderamata paling murah pun berharga RM12 untuk rantai kunci.

Petangnya kami berkunjung pula ke Namba Walk, kawasan yang sangat popular di Osaka sebagai tempat beli belah dan menjamu selera. Juga terdapat pusat beli belah bawah tanah yang membuatkan kami terfikir jika berlaku sebarang apa apa musibah (macam raksaksa berlawan dengan ultraman) apa akan jadi. Dari Namba ke Dotonburi Street yang menempatkan restoran berasaskan makanan laut seperti sushi. Memang orang Jepun sangat menikmati makanan sehingga sanggup beratur panjang untuk masuk.


Hari terakhir kami di Osaka sebelum keluar di hotel adalah Pasaraya Daie. Jarak dari hotel lebih kurang 500meter dan kami cuma berjalan kaki sekeluarga. Keadaan pasaraya lebih kurang dengan pasaraya di Malaysia.  Selesai “window shopping” kami menuju semula ke hotel dan menanti bas yang akan membawa kami ke Kansai Airport.


Satu perjalanan yang cukup memuaskan hati walaupun agak penat tambahan membawa anak-anak yang masih kecil. Walaupun diwar-warkan melancong di Jepun sangat  mahal sebenarnya jika anda pergi sendiri tanpa menggunakan ejen dan merancang sendiri perjalanan ianya lebih berbaloi dengan wang yang anda belanjakan. Insyaallah satu hari nanti kami akan kembali lagi ke Jepun kali ini untuk melihat keindahan bunga sakura pula.